Tuesday, November 24, 2009

Sejarah Ringkas

Seni silat Sukmo Rogo mula diperkenalkan di daerah Kajang pada tahun 1918 .Semasa itu silat ini di panggil dengan nama Silat Jawa. Pada tahun 1925 seorang pendekar bernama Sukimin bin Marto telah mempelajari silat ini dari Haji Sirat di Kajang. Memandangkan semasa itu Haji Sirat masih mengajar silat ini maka Sukimin bin Marto tidak mengajar silat ini di Kajang, sebaliknya beliau mula mengajar silat ini di Cameron Highland dan Jalan Tapah, Perak.

Semasa didalam perantauan beliau, telah banyak tempat-tempat yang disinggahi hingga pada satu ketika beliau telah menetap di Siam dan telah mempelajari seni mempertahankan diri Muay Thai yang kini dipanggil Tomoi. Sebelum mempelajari silat dari Haji Sirat beliau juga telah mempelajari berbagai jenis silat di Pulau Jawa Indonesia sebelum sampai ke Tanah Melayu pada awal tahun 1920 an. Destinasi beliau yang pertama di Tanah Melayu adalah di Johor. Disana beliau telah mempelajari silat daripada Haji Mohammad Noor Bentan . Pak guru Sukimin bukan sahaja tangkas dalam persilatan bahkan juga mempunyai bakat sebagai pelakun bangsawan ketika itu. Antara cerita-cerita bangsawan yang pernah beliau lakunkan adalah Megat Alang di laut, Jasmina dan lain-lain. Disebabkan penglibatan beliau dalam lakunan bangsawan itu maka banyaklah tempat-tempat yang telah singgahi. Di dalam masa itu beliau telah berkesempatan mempelajari berbagai anika jenis persilatan dari guru-guru silat yang terdapat di desa dan kampung yang di dudukinya.

Setelah sekian lama beliau merantau, beliau kembali semula ke Kajang dan telah menetap di Batu 12 jalan Cheras Kajang sehingga beliau mendirikan rumah tangga di sana. Ketika itu ilmu persilatan yang beliau warisi tidak diketahui umum walaupun isterinya sendiri. Pada tahun 1956 beliau telah dikunjungi oleh seorang kenalannya dan telah merayu pada beliau supaya mengajarkan ilmu persilatan yang beliau warisi. Bermula dari saat itu Silat Sukmo Rogo diperkenalkan. Pada mulanya ia dikenali sebagai silat Kuntau Jawa. Pak guru Sukimin telah memimpin silat ini hingga beliau kembali ke rahmatullah pada 7hbMei 1986. Pencak silat Sukmo Rogo telah melalui tiga generasi di daerah Kajang sejak ianya mula dibawa dari tanah Jawa.

Sehigga kini ia masih hidup dan diminati oleh pemuda-pemuda sekitar Kajang dan Kuala Lumpur walaupun ia menghadapi persaingan daripada lain-lain jenis silat. Walaupun bertahun silat Sukmo Rogo telah kehilangan Pak Guru Sukimin yang dikasihi, namun namanya dan Sukmo Rogo masih menghijau dan terus mengeluarkan cabang dan ranting yang di pimpin oleh murid-muridnya kepada benih-benih baru yang kini haus dengan seni silat Sukmo Rogo yang begitu indah dan mantap. Sukmo Rogo tetap unggul, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Pak Guru Sukimin . Amin.

Wednesday, November 4, 2009

PERTUBUHAN SENI SILAT SUKMO ROGO

Seulas Pinang

Ilmu mempunyai nilainya yang tersendiri. Sesungguhnya sesiapa yang mempelajari dan mengamalkan sesuatu ilmu itu akan dipandang tinggi. Begitu juga dengan ilmu persilatan. Pada zaman purbakala, ilmu silat adalah suatu ilmu yang tinggi yang mana ia diajarkan turun temurun serta menjadi ilmu ketenteraan di seluruh rantau kerajaan dan kekuasaan negeri Melayu dan dunia timur.

Kemahiran serta amalan sepenuhnya ilmu persilatan bagi individu khasnya dan rakyat jelata amnya pada mana-mana kampung, daerah dan seterusnya negeri, pasti menjadi suatu kekuatan dan ketahanan kepada negara itu, demikianlah manfaat yang amat ketara bagi ilmu persilatan terhadap mana-mana kerajaan dan kekuasaan melayu di zaman silam. Suatu legenda pernah menceritakan kekuatan Kerajaan Melaka terletak di tangan seorang hulubalang bernama Hang Tuah. Namun yang pasti kehebatannya sering menjadi pendorong bagi pengamal ilmu persilatan.

Kedatangan penjajah barat dengan segala peralatan senjata yang moden sama sekali merubah dunia kekuasaan melayu pada awal 19 masihi. Kekuatan senjata ini jauh sekali dapat ditangkis dengan silat, maka seolah-olah ilmu silat tidak lagi berguna. namun ia tidak pula hapus serta musnah sama-sekali. Mungkin ianya terhakis sedikit demi sedikit dimakan zaman sehinggalah ilmu silat ini berpindah dari markas ketenteraan diperluaskan lagi kepada bidang kesenian dan budaya. Dengan itu seni silat masih hidup dengan subur hingga hingga sekarang, kemungkinan cara penyampaian dan pengajarannya tidak menentu dan lemah.


Seperti yang kita ketahui bahan ilmu bangsa melayu berbagai-bagai dan baik serta bernilai tinggi malahan ianya lengkap meliputi segala bidang dari bidang perubatan dan kedukunan, musik dan nyanyian, tarian juga wayang purba. Bidang ini masih bertahan serta dapat berkembang sejajar dengan kemajuan teknologi masa ini. Tetapi bidang ilmu persilatan walaupun telah diamalkan sebelum kedatangan bangsa-bangsa asing seperti Arab, India, China dan juga penjajah barat, sayangnya cara penyampaian dan pengajaran hanya melalui percakapan, ingatan dan amalan dari satu generasi ke satu generasi yang lain tanpa ada sebarang penulisan yang dapat dibuat rujukan. Pengamal yang telah bersara, lupa dan sebagainya akan menyebabkan sebahagian pengetahuan tersebut pupus, disinilah kelemahan ilmuan bangsa melayu yang nyata amnya dan khasnya kepada pengamal sesuatu ilmu itu sendiri. Oleh itu dengan tertulisnya risalah serba ringkas ini namun ia dapat mengisi kekosongan penulisan ilmu bangsa melayu dari segi persilatan. Dengan harapan penulisan ini dapat diteruskan sepenuhnya hingga dapat memenuhi kelengkapan ilmu ini secara lebih terperinci dan bermutu tinggi supaya dipandang mulia di mata antarabangsa serta dapat di jadikan warisan bangsa melayu turun temurun hingga ke akhir zaman.


Sekian Wasalam



Gendang dipalu mengikat irama
Rentak tari bermadah pujangga
Menunggu ketika saatnya tiba
Pantang berundur melangkah mara